MELAKA – Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Imran Isyraf Jamil dan Wan Noor Adam Hariz Wan Noor Hafiz masing-masing berusia 19 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Haderiah Siri dan Rohatul Akmar Abdullah.
Muhammad Imran Isyraf didakwa merogol mangsa berusia 16 tahun (ketika kejadian) di sebuah lokasi dalam daerah Melaka Tengah pada pukul 12.30 tengah malam, pertengahan Januari 2024.
Sementara itu, Wan Noor Adam Hariz pula dituduh merogol remaja sama di sebuah rumah bernombor di Bukit Katil pada pukul 12.30 tengah hari, awal Februari 2024.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.