SHAH ALAM – “Anak saya sekarang murung dan takut”
Demikian kata Fatimah Lailati Omar, 52, berhubung keadaan anak lelakinya berusia 12 tahun yang menjadi mangsa buli susulan dakwaan membuli rakan sekolahnya sehingga dimasukkan ke hospital.
Kata ibu tunggal tersebut, semua bermula pada 21 Mei lalu apabila sepasang suami isteri yang juga ibu bapa ‘mangsa buli’ melemparkan tuduhan yang tidak berasas
Katanya, ini apabila gambar anaknya, nama sekolah dan alamat mereka telah disebarkan di media sosial sekali gus menjejaskan psikologi yang mendalam anaknya selain maruah keluarganya.
“Kami berdiam diri bukan kerana takut atau salah. Kami dihina, diugut dan tidak pernah terfikir buli siber ini dibuat oleh ibu murid perempuan tersebut.
“Rentetan posting mereka, ada (netizen) menyatakan akan memberitahu kepada pemandu lori supaya anak saya boleh digilis sampai lunyai.
“Ada yang kata jom pergi rumah sebab alamat lengkap kediaman kami didedahkan. Jadi menyebabkan anak saya takut untuk keluar rumah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Tegasnya, buli siber yang dilakukan itu telah mengakibatkan anak bongsunya daripada dua beradik tersebut mengalami tekanan dan berat badannya menyusut.
“Dia (anak) tak mahu keluar rumah. Hanya pergi dan balik sekolah sahaja. Dulu dia seorang yang ceria dan peramah namun kini telah berubah sepenuhnya.
“Di sekolah pun dia dipulaukan, dikutuk dan dicaci. Selain itu, anak saya dikatakan mempunyai masalah autisme namun sebenarnya dia tidak mempunyai penyakit itu,” katanya.
Fatimah memaklumkan dia bersama keluarga murid wanita tersebut ada bertemu pada 16 Jun lalu bagi mencari penyelesaian terbaik dengan dihadiri Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya terima apa sahaja keputusan siasatan. Malangnya, pihak sebelah sana masih tidak berpuas hati. Saya tidak kenal sangat mereka jadi tolak ini disebabkan dendam,” katanya.
Jelasnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu, Terengganu pada 19 Julai lalu terhadap pasangan suami isteri selain tiga pempengaruh.
“Segala tuduhan dibuat itu adalah tidak benar dan berniat jahat. Kenyataan yang berat sebelah dan tidak disahkan kebenarannya itu telah menimbulkan persepsi negatif dan kecaman terbuka di media sosial,” katanya.
Ketika ditanya mengenai tuduhan salah guna kuasa atau pengaruh, Fatimah yang juga ahli perniagaan tersebut menegaskan ia satu tuduhan yang pelik.
“Saya pernah menjadi calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal pada Pilihan Raya Umum pada tahun 2018 . Itu dulu. Saya bukan siapa-siapa.
“Mungkin keputusan siasatan sebelum ini tak sebelahi mereka, jadi itu yang menjadi isu,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang murid perempuan tahun enam sebuah sekolah rendah di sini mendakwa menjadi mangsa buli rakan lelaki sedarjahnya sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital akibat pendarahan pada bulan Mei lalu.
Mangsa mengalami kecederaan itu akibat ditendang pada bahagian perut dalam kejadian pada 21 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE