KAJANG – Gara-gara berang ditegur kerana ponteng kelas punca seorang pelajar lelaki bertindak menumbuk muka seorang guru dalam kejadian di sebuah sekolah menengah kebangsaan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada guru lelaki berusia 29 tahun itu kira-kira pukul 7.15 malam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca selepas pelajar tersebut didapati ponteng kelas pendidikan jasmani yang sepatutnya berada di padang ketika itu.
“Pelajar terbabit telah ditegur oleh pengadu menyebabkan suspek tidak berpuas hati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, suspek kemudian bergelut dengan pengadu sehingga mula mengugut dan menumbuk muka mangsa yang disaksikan oleh beberapa guru dan pelajar lain.
Katanya, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan suspek direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan suspek akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kajang pada pukul 9 pagi, esok.
“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohd. Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan pergelutan antara seorang pelajar dengan seorang guru lelaki sebelum remaja terbabit dilihat menumbuk muka individu tersebut. – KOSMO! ONLINE