fbpx
BAGI Bunga, hidup bukan tentang melupakan apa yang telah hilang tetapi merela diri beradaptasi dengan proses seterusnya membenarkan diri berasa bahagia dan berhak untuk kembali mencintai.

BCL dari fasa kehilangan, bangkit mencintai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENTIASA diulit kesibukan memenuhi jadual persembahan, berkejar ke lokasi penggambaran atau kempen produk, penyanyi seberang Bunga Citra Lestari atau BCL tetap mencuri waktu menikmati masa buat diri sendiri.

Ketenangan emosi tetap diutamakan penghibur popular itu dengan melakukan aktiviti disukai terutama memasak juadah enak buat seisi keluarga dan kenalan rapat.

Katanya, menu hasil air tangan yang selalu disediakan adalah rendang dan kek coklat, selain makanan barat kegemaran anak tunggalnya, Noah Aidan Sinclair iaitu aneka pasta.

“Memasak bagi saya merupakan ‘healing’, kian jadi terapi. Bila kita masak untuk orang yang kita sayang dan lihat mereka menikmati makanan itu, rasa puas dan bahagia itu datang sendiri.

“Kalau hari raya, saya masak rendang satu periuk besar umpama kenduri. Kek coklat pula saya adun beberapa bekas agar semua dapat rasa. Mereka suka, saya bahagia.

“Kalau untuk menu harian, tentu sahaja pasta kesukaan Noah. Semua ini ‘healing’ buat saya,” katanya selepas pelancaran konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance, baru-baru ini.

MEMASAK dan menonton K-drama merupakan terapi buat BCL bagi menghilangkan lelah bekerja. – ISKANDAR ISHAK

Menangis tonton K-drama

Tampil segar dan ramah seperti selalu, selebriti jelita yang menginjak usia 42 tahun pada Mac lalu mengakui menonton drama Korea Selatan atau K-drama juga disifatkan sebagai terapi.

“Saya suka menonton K-drama kerana alur ceritanya yang sarat plot dan emosi walaupun habis tisu sekotak tiap episod,” ujarnya sambil tertawa.

Mengakui kedatangan ke Kuala Lumpur juga ibarat serampang dua mata, BCL yang ditemani suaminya, Tiko Aryawardhana, 40, serta Noah turut mengambil peluang mengunjungi keluarga teman hidupnya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia lima tahun lalu.

Katanya, hubungan baik mereka terus kekal sehingga hari ini biarpun selepas pemergian Ashraf lebih lima tahun lalu.

Bahkan, mentuanya turut menerima kehadiran suami baharunya yang dikahwini pada 2023.

“Kami sentiasa berhubung antara satu sama lain. Bagi saya, ketika menjalin hubungan dengan Ashraf dahulu saya bukan hanya mencintai Ashraf malah keluarganya. Mereka sangat baik dan sentiasa menyokong saya serta menerima Tiko sebagai sebahagian daripada keluarga kami.

“Saya sangat bersyukur kerana ini sesuatu yang indah. Bukan semua orang berpeluang merasakannya. Hubungan ini dibina sejak awal dengan penuh pengertian, saling hormat dan kematangan.

“Tiada rasa cemburu atau iri hati. Yang ada hanyalah bagaimana kami boleh saling memberi dan menyokong antara satu sama lain,” ungkapnya dalam nada ceria.

KONSERT mega anjuran Pulse Project Asia tersebut bakal menyajikan penceritaan suka duka kehidupan serta karier seni BCL selama ini.

Idolakan Jaclyn Victor

Mengenai konsert yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 September depan, dia mengakui sengaja memilih gelanggang itu demi lebih intimasi dengan peminat.

Akuinya, persembahannya nanti digarap dengan lebih intim bagi memberi ruang kepada penceritaan emosi yang mendalam menerusi rangkaian lagu pilihannya.

Menurutnya, konsert kali ini tidak hanya mahu menghiburkan, sebaliknya menjadi ruang untuk menyampaikan pelbagai cerita hidupnya dari fasa kehilangan dan kesedihan kepada keberanian untuk bangkit serta menghargai cinta dalam pelbagai bentuk.

“Banyak hal yang masih ingin saya sampaikan melalui lagu. Gaya nyanyian saya memang berbentuk penceritaan dan akan lebih meninggalkan kesan dalam suasana yang dekat dengan penonton.

“Paling utama bukan sekadar persembahan hebat, malah konsert ini nanti dapat menjadi sesuatu yang dikenang khalayak kerana pengisian bermakna,” katanya.

Tambahnya, persembahan mega anjuran Pulse Project Asia itu turut menampilkan pemain biola elektrik dan penerbit muzik tersohor, Dennis Lau selain penyanyi idolanya, Jaclyn Victor sebagai artis jemputan.

Menurut BCL lagi, kolaborasi bersama dua nama besar dalam arena muzik itu sebagai simbol perpaduan seni antara Indonesia dan Malaysia.

“Saya menonton video Dennis main biola untuk lagu 12 Tahun Terindah yang sangat menyentuh perasaan dan mengagumkan.

“Pada masa sama saya juga peminat Jaclyn sejak zaman Malaysian Idol. Bagi saya, dia antara vokalis terbaik Asia dan saya sangat berbangga dapat berkolaborasi dengannya.

“Pastinya, bakal ada kejutan tetapi belum boleh didedahkan kerana saya ingin semua peminat yang menyokong saya sejak dulu sama-sama hadir September nanti,” katanya.

Harga tiket konsert bermula dari RM288 untuk harga normal dan pra-jualan adalah RM259, yang boleh didapati secara dalam talian melalui Ticket2u.com.my.

BCL undang pemain biola elektrik dan penerbit muzik tersohor Dennis Lau (kanan) selain penyanyi idolanya, Jaclyn Victor (kiri sekali) sebagai artis jemputan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI