KUCHING – Seramai 15 lelaki warga Bangladesh ditahan ketika cuba dibawa masuk oleh satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), semalam.
Penahanan itu dibuat oleh Unit Pemantauan Kawalan & Penguatkuasaan (UPKP), Jabatan Imigresen Sarawak hasil daripada rondaan dan pemantauan rapi yang dijalankan.
Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan berkata, kesemua warga Bangladesh itu ditahan kira-kira pukul 12.50 tengah hari sebaik sahaja mereka tiba dengan sebuah pesawat dari Kuala Lumpur.
“Semakan awal mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod kemasukan yang sah dalam sistem Jabatan Imigresen,” katanya.
JIM Sarawak menambah pemeriksaan lanjut pada pasport mereka turut mendedahkan penggunaan cop imigresen yang disyaki palsu dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa.
Lebih mengejutkan, katanya siasatan awal mendapati setiap daripada mereka membayar antara RM18,000 hingga RM20,000 kepada ejen sindiket bagi menyelinap masuk ke negara ini.-KOSMO! ONLINE