ISKANDAR PUTERI – Seorang bapa muda ditahan selepas disyaki membunuh anak kandungnya sendiri sebelum mayatnya ditanam di kawasan semak di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek berusia 36 tahun diberkas pada pukul 12.20 tengah malam, 24 Julai lalu selepas lelaki itu membuat laporan kehilangan anaknya berusia enam tahun itu.
Menurut Kumarasan, berdasarkan laporan dibuat, suspek memberitahu anak tunggalnya itu kononnya hilang semasa ditinggalkan seorang diri di dalam kereta pada 23 Julai di kawasan Bukit Indah di sini.
“Suspek mendakwa ketika kejadian dia meninggalkan mangsa di kawasan parkir Bukit Indah sebelum dia pergi membeli makanan.
“Selepas siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, terdapat keraguan terhadap keterangan bapa mangsa dan polis terus membuat tangkapan pada 24 Julai.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula 25 sehingga 31 Julai ini,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumarasan berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan kanak-kanak malang itu di kawasan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Jelasnya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapat negatif dadah.
Katanya, siasatan lanjut dilanjut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.-KOSMO! ONLINE