SEPANG – Seramai 39 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.
Ketibaan mereka disambut ahli keluarga dan waris terdekat serta kenalan yang setia menanti kepulangan mereka sejak pukul 10 pagi lagi.
Sejurus tiba di Balai Ketibaan KLIA, mutawif yang membawa mereka, Muhammad Abu Sufyan Mohd. Mokhtar Rozaidi atau lebih dikenali sebagai PU Abu sempat sujud syukur sebagai tanda syukur kerana selamat tiba di tanah air.
PU Abu yang ditemui berkata, dia bersama jemaah lain bersyukur kerana dapat pulang ke tanah air malah, terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sudi membantu.
Katanya, beliau tidak menyangka masalah dihadapinya itu mendapat perhatian pihak media sehingga ada yang sudi menanggung kos penerbangan pulang.
“Saya akui sebak kerana ini adalah kejayaan terbesar dalam hidup saya kerana pernah satu ketika, saya tidak nampak jalan penyelesaian.
“Doa kami akhirnya makbul apabila Ustaz Firdaus Firabib (Mohd Firdaus Mat Akhir) tampil untuk membantu. Ada ramai yang hubungi untuk membantu tapi Ustaz Firdaus yang paling komited.
“Tak lupa juga kepada Wisma Putra dan konsulat Malaysia di Arab Saudi serta pihak media yang banyak membantu ketika kami di sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE