KUANTAN – Tindakan sekumpulan lelaki mengangkat seekor penyu yang dipercayai sedang mendarat untuk bertelur di sebuah pantai tular di media sosial hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Menerusi video berdurasi lebih dua minit yang dimuat naik di platform X kira-kira pukul 11.57 malam semalam, kelihatan tiga lelaki berada di kawasan berpasir sambil mengangkat reptilia tersebut walaupun ditegur beberapa pengunjung lain.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di Pantai Cherating, di sini namun tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa setakat ini berhubung lokasi dan tarikh sebenar kejadian.
Tindakan mereka mengganggu haiwan dilindungi itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan boleh menjejaskan usaha pemuliharaan penyu di negara ini.
Seorang pengguna X, @9773LoI menulis, “Harap bagi hukuman yang sangat intense, bukan setakat saman atau lokap satu ke dua tahun tahun. Isu macam ini patut diberi perhatian.”
Seorang lagi pengguna, @sirshibaninja pula menyeru pihak polis mengambil tindakan segera dengan komen ringkas, “Panggil @PDRMsia”.
Rata-rata pengguna turut menandai akaun rasmi pihak berkuasa dalam hantaran mereka, selain meminta maklumat individu terlibat diviralkan agar dikenakan tindakan. – KOSMO! ONLINE