fbpx
Mohamed Usuf menunjukkan bungkusan berisi dadah jenis syabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan pada 24 Julai lalu.

Sewa rumah teres ‘guarded’, simpan dadah RM4.66 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah teres berpengawal sebagai stor penyimpanan terbongkar menerusi serbuan di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Khamis lalu.

Serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayan Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) turut merampas 145.68 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM4.66 juta.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, serbuan pertama kira-kira pukul 5.40 petang dilakukan ke atas sebuah kereta di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Kuchai Lama, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam bonet kereta menemui 10 bungkusan berisi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 10.34 kg.

“Hasil serbuan membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.

“Tangkapan turut dilakukan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun dan lelaki warga asing berusia 34 tahun dipercayai ahli sindiket di pusat beli-belah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di IPK KL, di sini hari ini.

Beliau berkata, penahanan tiga individu itu membawa kepada serbuan seterusnya di sebuah rumah teres di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan dan merampas 122 bungkusan berisi dadah jenis syabu seberat 135.34 kg.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyewa rumah teres yang mempunyai pengawal keselamatan (gated dan guarded) sebagai tempat penyimpanan dadah pada harga RM2,000 sebulan.

“Suspek pertama yang tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan pula dijadikan sebagai penghantar dadah kepada pelanggan,” ujarnya.

Jelasnya, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mei lalu dan menjalankan pengedaran di sekitar Lembah Klang.

Katanya, siasatan awal mendapati bahawa dadah yang dirampas juga adalah untuk pasaran luar negara seperti Indonesia.

“Semakan mendapati dua suspek positif dadah, manakala seorang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan merupakan individu dikehendaki,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan kesemua suspek direman selama seminggu sehingga 31 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI