PETALING JAYA – Penyanyi yang juga adik kepada Ella Aminuddin, Korie terbuka untuk sertai sebarang pertandingan nyanyian atau program televisyen selepas pulih daripada sakit buah pinggang tahap tiga yang dialaminya empat tahun lalu.
Menurut Korie atau nama sebenarnya Azhari Aminuddin, 56, dulu dia pernah mengatakan tidak untuk sertai program seperti itu, namun kini dia mengubah keputusannya kerana ingin mencabar diri.
“Sebenarnya banyak kali juga saya ditawarkan untuk sertai pertandingan nyanyian. Tetapi saya tolak kerana takut.
“Saya suara biasa-biasa sahaja. Suam-suam kuku. Nak lawan pula dengan penyanyi yang lebih dasyat.
“Lagipun dulu saya sakit. Nak menyanyi pun tak larat. Tetapi selepas berubat dan kembali sihat, saya rasa kenapa tidak saya cuba. Saya ingin mencabar diri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Galeri Rockqueen, di sini baru-baru ini.
Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Pergilah Sayang itu lagi, kakaknya Ella serta anak buahnya, Kaka Azraf turut memberi sokongan dan semangat untuk dia turut serta dalam program nyanyian.
“Ella ada cakap kalau ada yang tawarkan, cuba sajalah. Tetapi dia kata suara saya tak tinggi. Yang dipilih selalunya bersuara tinggi,” jelasnya sambil ketawa.
Ditanya bagaimana tahap kesihatannyan sekarang, kata Korie dia kini 99 peratus pulih selepas menjalani rawatan alternatif.
“Nak cakap pulih 100 peratus saya tak berani. Boleh dikatakan 99 peratus. Alhamdulillah.
“Ella perkenalkan saya dengan satu minuman herba. Selepas lima hari minum saya sudah boleh bangun. Badan rasa bertenaga dan boleh kembali berjalan.
“Bila saya amalkan, lama-lama saya jadi normal semula. Doktor pun sahkan saya sudah pulih. Tetapi dia minta agar saya jaga pemakanan sebab penyakit tersebut boleh datang kembali,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE