fbpx
SHIMIZU melakar sejarah tersendiri apabila muncul pemegang rekod 100m B-18 dunia dengan catatan masa 10s. - KYODO

Remaja 16 tahun catat masa 10 saat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOKYO – Arena balapan antarabangsa kini memiliki bintang baharu selepas pelari Jepun berusia 16 tahun, Sorato Shimizu meleburkan rekod 100 meter (m) bawah 18 tahun (B-18) dunia menerusi catatan masa 10.00 saat (s).

Lebih menarik, catatan masa itu dilakukan ketika dia beraksi pada Kejohanan Antara Sekolah Tinggi Jepun dan membolehkan Shimizu melepasi standard kelayakan ke Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Tokyo pada September ini.

Catatan itu turut membayangi prestasi pelari Australia sedang meningkat naik, Gout Gout yang merakam masa 10.04s sehingga dibandingkan dengan legenda dunia yang juga pemenang lapan kali pingat emas Sukan Olimpik, Usain Bolt.

Shimizu yang merupakan pelajar di Sekolah Tinggi Seiryo berkata, catatan masa 10.00s itu sememangnya sudah menjadi fokus sejak di awal saingan lagi selain memasang impian beraksi di Kejohanan Dunia.

“Memang saya letakkan sasaran berlari di bawah 10.00s dan melangkah ke pusingan akhir. Saya gembira kerana dapat mencatat rekod baharu untuk sekolah tinggi dan sekarang mahu beraksi di Kejohanan Dunia.

“Secara jujur, saya sendiri terkejut dengan catatan ini tetapi saya sudah berjaya melakukannya. Kemenangan sentiasa menjadi fokus saya, jadi langsung tidak ada keraguan sebaik sahaja berlari,” katanya.

Sebelum ini, rekod 100m B-18 dunia dipegang oleh bintang pecut Thailand, Puripol Boonson yang mencetak masa 10.06s pada Sukan Asia Hangzhou tahun lalu sekali gus menyamai masa dilakukan pelari Amerika Syarikat (AS), Christian Miller.

“Sejak dari awal saingan lagi saya cuba mempamerkan gaya larian yang tersendiri. Ketika aksi saringan, saya tidak dapat melakukannya, jadi sangat gembira apabila ia membuahkan hasil di final,” ujar Shimizu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI