ALOR SETAR – Polis Kedah tetap mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan sempadan meskipun pergolakan dan pertempuran bersenjata antara Thailand dan Kemboja berlaku di sebelah utara negara Gajah Putih itu.
Ketua Polis negeri, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya tidak memandang ringan walaupun ia berlaku jauh dari pintu sempadan negeri ini.
“Kalau ikut ia berlaku di sempadan sebelah utara (Thailand) tetapi tidak boleh pandang ringan dan kita akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memperkukuhkan kawalan di pintu sempadan negara.
“Walaupun dengan bantuan agensi seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang semakin agresif, kita tidak boleh leka dan akan terus pastikan keselamatan sempadan negara terjaga,” katanya ketika ditanya mengenai kawalan sempadan negara susulan pergolakan antara dua negara tersebut.
Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2025 yang diadakan di Jitra pada Jumaat lalu, menurut Adzli, kegiatan jenayah curi di negeri itu yang dilakukan oleh penagih dadah menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan jenayah indeks negeri.
Katanya, dari 1 Januari hingga semalam, sebanyak 2,852 kes jenayah indeks telah dicatatkan dan daripada jumlah itu 47 peratus adalah melibatkan jenayah curi yang dilakukan oleh penagih dadah.
Jenayah curi yang dilakukan oleh penagih dadah ini lebih tinggi berbanding jenayah-jenayah lain. Kita percaya, kalau dadah ini dapat diatasi dan dibasmi sehabis mungkin, jenayah indeks di negeri Kedah dapat diturunkan,” katanya.
Terdahulu, berlangsung Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Kedah dan Timbalan Ketua Polis Kedah serta Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah yang disaksikan oleh Pengarah Cawangan Khas CP Datuk Ibrahim Darus yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Adzli yang sebelum ini memangku jawatan Ketua Polis Kedah telah dilantik sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu dan dinaikan pangkat kepada Komisioner manakala Timbalan Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah baharu dan dinaikan pangkat kepada Deputi Komisioner. – KOSMO! ONLINE