HANOI – Seorang lelaki yang menunggang motosikal tiba-tiba terjatuh ke dalam sebuah lubang benam pada waktu malam dalam kejadian di Hanoi, lapor portal berita VnExpress semalam.
Mangsa bagaimanapun cuma cedera ringan selepas terjatuh ke dalam lubang itu, kelmarin.
Ketika kejadian, dia menunggang motosikal di Jalan Truong Chinh menghampiri persimpangan Jalan Ton That Tung apabila roda hadapan kenderaan itu terperosok dalam lubang benam pada pukul 9 malam (waktu tempatan).
Pihak berkuasa mengukur lubang benam itu dan mendapati ia memiliki dalam 1 meter dan lebar juga 1 meter.
Menurut pihak berkuasa, lubang itu berbentuk seperti mulut katak, tanpa air di dalamnya ketika kejadian.
Jabatan Pembinaan Hanoi menyatakan, paip bawah tanah yang bocor di bawah Jalan Truong Chinh menyebabkan hakisan teruk, mengakibatkan lubang benam terbentuk dengan motosikal mangsa terjatuh di dalamnya. – AGENSI