PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius penglibatan pegawai penguat kuasa yang didakwa bersubahat dengan sindiket yang menawarkan laluan masuk tanpa prosedur sah ke negara ini.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap negara.
Katanya, perbuatan tidak bermoral itu membuka ruang kepada jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, perdagangan manusia dan aktiviti ekstremis.
“Kegiatan itu tidak berlaku secara spontan atau melibatkan individu semata-mata, sebaliknya berpunca daripada beberapa faktor sistemik dalam agensi penguat kuasa.
“Rasuah yang berakar dalam sistem, kepimpinan lemah yang gagal menunjukkan teladan integriti, ketiadaan perlindungan kepada pemberi maklumat serta kelemahan dalam penguatkuasaan dalaman melibatkan audit, pemantauan dan tindakan tatatertib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jais, budaya berdiam diri dalam kalangan pegawai atasan telah menyebabkan amalan ‘buat diam-diam’ menjadi norma, sekali gus menyuburkan kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Orang bawah tidak akan berani jika orang atas bersih dan tegas. Malangnya, apabila pegawai atasan turut bersubahat atau berdiam diri, ia menjadi galakan kepada perlakuan rasuah di semua peringkat,” tegasnya.
Tambahnya, selagi tiada komitmen tegas terhadap integriti daripada barisan kepimpinan atasan, gejala seumpama itu akan terus menjadi barah dalam sistem pentadbiran negara.
“Kita tidak perlukan lebih banyak undang-undang, tetapi kita perlukan keberanian moral untuk melaksanakannya,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan empat pegawai penguatkuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 bagi kegiatan pasport terbang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) direman selama enam hari.
Perintah reman sehingga 1 Ogos itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd. Aliyas bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. – KOSMO! ONLINE