PETALING JAYA – Polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap peserta himpunan yang membawa dan menyebat patung mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, perbuatan tersebut telah dirakam dan dimuat naik ke media sosial oleh pihak-pihak tertentu.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua siri tangkapan telah dibuat melibatkan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 21 dan 47 tahun hari ini.
Katanya, polis turut merampas beberapa peralatan komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik dan menghantar maklumat berkaitan insiden berkenaan.
“Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Susulan itu, polis menasihati orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan tidak menggunakannya sebagai alat berkecenderungan menghasut sehingga boleh mencetuskan ketidakharmonian dan menjejaskan ketenteraman awam.
Tambahnya, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
Sabtu lalu, media melaporkan polis akan meneliti sekiranya terdapat ucapan berbaur isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) serta hasutan dalam Himpunan Turun Anwar. -KOSMO! ONLINE.