fbpx
Hilal hampir pengsan di lokasi penggambaran filem Memori yang dijalankan di Pulau Duyung, Terengganu tahun lalu.

‘Memang sakit, saya hampir maut, nasib ada JPAM’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Berdepan detik cemas, pelakon Datuk Hilal Azman hampir pengsan di lokasi penggambaran filem Memori yang dijalankan di Pulau Duyung, Terengganu tahun lalu.

Menurut Hilal atau nama lengkapnya Nor Hilal Abdullah, 65, perkara tersebut berlaku akibat kepenatan melampau selain keadaan fizikal lokasi yang mencabar.

Meskipun disarankan pihak berkuasa untuk berehat, dia tetap semangat menjayakan babak tersebut kerana enggan menyusahkan produksi, Creative Stew.

“Pengalaman itu memang menakutkan. Ketika itu panas, ditambah penat. Budak yang saya dukung pula berat dan saya perlu berlari atas pasir pantai yang banyak batu karang tanpa pakai kasut.

“Jadi, memang sakit. Hampir maut jugalah, sampai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), tidak benarkan saya berlakon menjayakan adegan di pulau itu.

“JPAM suruh saya rehat dan balik. Saya kata tak boleh kerana boleh menyukarkan produksi dan menjejaskan keseluruhan filem,” katanya kepada Kosmo! Online pada malam gala filem Memori, baru-baru ini.

Mengulas mengenai penglibatan dalam filem, Hilal mengakui terlibat dalam Memori semata-mata mahu mencari rezeki buat keluarga tanpa mengimpikan sebarang anugerah.

“Kalau ditanya kenapa saya berminat buat filem ini, sejujurnya rendah hati saya katakan saya mencari rezeki untuk famili, isteri dan anak-anak. Bukan kerana nak dapat anugerah.

“Tapi kalau diberikan pengiktirafan, alhamdulillah. Jadi ini menjadi satu amanah buat saya.

“Sewaktu saya datang uji bakat saya berdoa mahu mencari rezeki buat isteri dan anak-anak. Itu puncanya saya mahu buat yang terbaik dalam setiap tugasan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Hilal membawa pulang trofi Pelakon Terbaik Asia Pasifik ke-61 pada acara kemuncak yang berlangsung di Macau, China pada Februari lalu menerusi lakonannya dalam filem Memori.

Memori arahan Abid Hussain mengharumkan nama negara dengan kemenangan di pesta filem antarabangsa, termasuk Festival Filem Dunia di Cannes, Festival Filem Bebas Dubai, Anugerah Filem Antarabangsa New York dan banyak lagi.

Filem ini juga diraikan di festival di Los Angeles, New York City, Mexico, China, Berlin, India, Tokyo, Singapura dan Filipina.

Bakal ditayangkan bermula 31 Julai depan, filem tersebut turut dibintangi Hisyam Hamid dan Diana Danielle. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN