PUCHONG – Mayat seorang wanita dewasa yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan tertiarap di atas batu di Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Batu 13 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 kira-kira pukul 11.58 pagi.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat wanita tersebut lengkap berpakaian serba hitam, namun baju mangsa telah terselak pada bahagian atas.
“Mangsa turut memakai seluar panjang berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, siasatan awal Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengklasifikasikan kes mati mengejut selepas mendapati mangsa berada dalam sungai lebih 24 jam berdasarkan keadaan fizikal mayat yang mulai kembung.
“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau barangan peribadi ditemukan bersama mangsa.
“Pasukan bomba juga hadir untuk bantuan,” katanya.
Mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Vigneswaran A/L Kunasekar di talian 014-9229233 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE