KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal jenis Yamaha R15 ditunggangnya terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 217.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu berlaku ketika mangsa, Lee Jun Jin, 20, dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju Kuantan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri jalan.
“Akibat kejadian mangsa mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.
Beliau memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan ke atas motosikal oleh pihak Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Usaha turut dijalankan untuk mengesan saksi kejadian dan sebarang maklumat berkaitan insiden ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat di talian rasmi Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan iaitu 09-5652222.
“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan jalan raya bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE