fbpx
GRADUAN sains forensik kini mempunyai peluang kerjaya lebih luas, tidak lagi tertumpu pada jabatan polis atau hospital. – GAMBAR HIASAN

Keperluan sains forensik di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA menyebut tentang bidang forensik, kebanyakan rakyat Malaysia akan mengaitkannya dengan mayat, bedah siasat dan kes pembunuhan. Persepsi ini mungkin terbentuk daripada paparan drama televisyen dan filem yang menonjolkan adegan-adegan di hospital, bilik mayat,  serta siasatan tempat kejadian jenayah. 

Siri drama seperti CSI: Crime Scene Investigation, Bones, Dexter dan Detective Conan merupakan antara pengaruh media yang memaparkan babak-babak berkaitan sains forensik dalam sesebuah kes jenayah. 

Fenomena ini dipanggil ‘The CSI Effect’ yang menarik minat penonton untuk lebih mendalami dan mengikuti perkembangan sains forensik. Kini, sains forensik  semakin meluas, kompleks dan terus berkembang sebagai salah satu bidang profesional yang merentasi pelbagai disiplin sains untuk menegakkan keadilan.

Secara asasnya, forensik didefinisikan sebagai aplikasi atau penggunaan ilmu sains serta teknikal dalam membantu proses perundangan. Hal ini merangkumi segala bentuk penyiasatan saintifik yang bertujuan menyelesaikan kes undang-undang sama ada jenayah, sivil, kes mahkamah syariah mahupun pertikaian komersial. 

Dalam konteks ini, forensik berperanan sebagai jambatan penting yang menghubungkan dunia pengetahuan saintifik dengan proses keadilan dalam sistem perundangan.

Di Malaysia, bidang sains forensik menunjukkan potensi yang sangat besar selari dengan keperluan untuk meningkatkan ketelusan siasatan dan memperkukuh sistem keadilan jenayah negara.  Sains forensik kini meliputi pelbagai cabang seperti biologi dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), kimia, toksikologi, analisis cap jari, balistik (analisis senjata api), antropologi (kajian manusia dan rangka tulang) serta odontologi (kajian gigi). 

Tidak kurang pentingnya adalah bidang forensik digital yang semakin relevan dalam menangani jenayah siber dan penipuan dalam talian.

Asas kimia merupakan komponen yang penting dalam hampir setiap proses analisis forensik. Hampir semua bukti fizikal memerlukan pemahaman mendalam tentang prinsip dan kaedah kimia untuk dapat dikesan, diekstrak, dianalisis serta ditafsir sebelum dapat dijadikan bukti sah di mahkamah mahupun ltuntutan insurans.

SAINS forensik sering digunakan dalam penyiasatan kes jenayah. – JANAAN AI

Penentuan jenis darah dijumpai di lokasi kejadian, pengesanan serpihan serbuk letupan pada pakaian suspek atau mengenal pasti dadah dalam air kencing mangsa adalah antara contoh yang memerlukan pendekatan analisis kimia. 

Tanpa penguasaan kimia, seorang pakar forensik tidak dapat mentafsir spesimen menjadi bukti saintifik yang mampu menyokong pendakwaan atau pembelaan.

Disebabkan itu, kurikulum pengajian sains forensik dirangka supaya para pelajar bukan sahaja mempelajari teknik siasatan di tempat kejadian, tetapi menguasai ilmu kimia forensik untuk mengkaji bahan toksik, ubat-ubatan, bahan letupan dan bahan mudah terbakar. 

Pelajar turut mempelajari biologi forensik yang membolehkan mereka memproses spesimen darah, air mani atau air liur untuk tujuan pengecaman DNA. 

Selain itu, aspek fizik forensik yang penting untuk memahami trajektori peluru dan kesan hentaman juga diajar supaya graduan memahami mekanisme kecederaan atau kerosakan fizikal pada mangsa atau tempat kejadian.

Hal ini menekankan kepentingan pembudayaan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) dalam kalangan pelajar. 

STEM adalah berkaitan dengan bidang-bidang ilmu yang saling berkaitan dan sering diajarkan secara bersepadu untuk membangunkan kemahiran dalam penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kerjasama. 

Pelaksanaan program sains forensik di peringkat universiti mendorong kepada galakan budaya STEM yang perlu disemarakkan dalam kalangan generasi muda yang dilihat semakin pudar. Pendedahan kepada program sains forensik ini dapat menyuntik minat mereka untuk terus mendalami bidang STEM yang merupakan komponen utama sains forensik.

Sains forensik turut mengandungi komponen kriminologi, etika dan undang-undang untuk memastikan para pelajar sedar akan tanggungjawab mereka sebagai ahli profesional yang berkhidmat demi sistem keadilan. 

Sains forensik terbukti menjadi pemangkin penting dalam menyelesaikan kes-kes besar di Malaysia. Sebagai contoh, dalam kes pembunuhan tragis Canny Ong pada tahun 2003, teknologi analisis DNA telah membantu mengaitkan suspek dengan kejadian, sekali gus membawa kepada sabitan di mahkamah. 

Potensi bidang ini di Malaysia semakin besar seiring dengan keperluan kepada ketelusan siasatan saintifik dalam kes jenayah, insurans dan juga kes pertikaian komersial. 

Sektor insurans misalnya semakin giat mengambil graduan sains forensik untuk berkhidmat sebagai loss adjuster forensik dalam memastikan tuntutan kerugian berjuta ringgit tidak dibuat berdasarkan fakta direka-reka. Dalam dunia digital pula, pakar forensik komputer diperlukan untuk mengesan jejak data dalam kes penipuan kewangan, kecurian maklumat atau serangan siber yang semakin meruncing.

Graduan sains forensik tempatan kini mempunyai peluang kerjaya yang luas, tidak lagi hanya tertumpu di jabatan polis atau hospital kerajaan.

Dengan struktur kurikulum universiti yang semakin mantap dan dilengkapi dengan latihan industri yang menyeluruh, Malaysia dilihat mampu melahirkan lebih ramai pakar forensik bertauliah bagi meningkatkan kebolehan penyiasatan dan memperkukuh sistem keadilan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI