KUANTAN – “Kejadian angkat penyu untuk dipaksa bertelur bukan kali pertama berlaku di sini, namun kali ini mereka lebih berani melakukannya di depan orang ramai,” kata Ezza Ashilla Abdul Razak, 34.
Ezza Ashilla merupakan antara saksi yang melihat kejadian tiga lelaki mengangkat seekor penyu dipercayai spesis agar di Pantai Chendor, Cherating, di sini pagi semalam sehingga tular dalam media sosial.
Katanya, kejadian berlaku di hadapan tapak perkhemahan kendaliannya pada pukul 7 pagi ketika beberapa pengunjung berkhemah di lokasi tersebut.
“Sebaik penyu mendarat, mereka segera mengangkatnya namun selepas ditegur beberapa pengunjung dan dirakam, mereka akhirnya melepaskan semula penyu tersebut.
“Kejadian seperti ini bukan kali pertama berlaku. Ramai yang mencari telur penyu dan sebahagian mereka mengangkat penyu untuk dipaksa bertelur,” katanya.
Menurut Ezza, ‘perangai’ penyu sekiranya naik ke darat untuk bertelur, ia tidak akan terus naik dan bertelur sebarangan sebaliknya mencari kawasan pasir yang sesuai.
“Adakalanya penyu akan berpusing terlebih dahulu dan sengaja ‘meligan’ kawasan bagi mengelak musuh mencuri telurnya.
“Ada sesetengah pencari telur penyu tidak sabar dan mengangkat penyu sebelum meletakkannya di lubang yang sudah siap digali untuk memaksa haiwan itu bertelur,” katanya.
Tambahnya, lebih kejam apabila segelintir mereka yang mengangkat penyu masuk ke kawasan semak kira-kira 100 meter dari pantai bagi menutup aktiviti mereka.
“Pernah berlaku kes penyu tersangkut dalam semak dipercayai ditinggalkan pihak tidak bertanggungjawab. Walaupun pernah ditegur namun kegiatan ini masih belarutan. Kami khuatir mereka bertindak agresif jika kerap ditegur,” katanya.
Ezza berkata, harga telur penyu yang mencecah RM2 hingga RM5 sebiji menyebabkan ada pihak yang sanggup bertindak agresif terhadap haiwan tersebut. -KOSMO! ONLINE.