LONDON – Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus membuat keputusan untuk ‘pulang ke kampung’ bagi meningkatkan prestasi dan mencerahkan peluang mewakili skuad antarabangsa Brazil mengharungi Piala Dunia edisi 2026 nanti.
Menurut laporan, gergasi Brazil, Flamengo cukup berminat untuk menandatangani khidmat Jesus secara pinjaman dengan klausa pembelian tetap pada tahun depan.
Malah, Flamengo yang dikendalikan oleh Filipe Luis tidak mempunyai masalah untuk membayar separuh gaji Jesus, manakala bakinya dibayar oleh pengurusan The Gunners.
Buat masa ini, status Jesus bersama skuad bimbingan Mikel Arteta menjadi tanda tanya selepas masih berada dalam fasa pemulihan susulan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialami pada awal tahun ini.
Kedudukan penyerang berusia 28 tahun itu sebelum ini tergugat apabila kehilangan tempat dalam kesebelasan utama selepas Arsenal menandatangani khidmat Kai Havertz pada tahun 2023.
Jesus dijangka menjadi penyerang terakhir bakal dipilih Arteta selepas pasukan melengkapkan perpindahan penggempur antarabangsa Sweden, Viktor Gyokeres daripada Sporting Lisbon awal pagi semalam.
Difahamkan, apa yang menjadi masalah ketika ini ialah Jesus masih terhutang budi dengan satu lagi kelab utama Brazil, Palmeiras yang cukup berjasa menaikkan kariernya di peringkat remaja sebelum ini. – AGENSI