fbpx
Jemaah umrah melakukan tawaf mengelilingi Kaabah, baru-baru ini. -Foto oleh NORLIDA AKMAR IDROS

Jemaah umrah terkandas tidak perlu bayar balik tambang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Jemaah umrah dari Malaysia yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi tidak perlu membayar semula kos tambang penerbangan pulang yang telah ditanggung.

Pengurus Cawangan Utara Hyad Travel Malaysia Sdn. Bhd., Mohd. Firdaus Mat Akhir berkata, bantuan itu diberikan atas rasa tanggungjawab tanpa sebarang syarat atau tuntutan bayaran semula daripada jemaah.

“Saya tidak akan menuntut kepada jemaah untuk membayar semula tambang tiket tersebut.

“Niat saya hanya untuk membantu agar mereka semua dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya disini hari ini.

Menurut beliau, bayaran sebanyak RM71,370 telah dibuat kepada syarikat Kembara Hijrah Travel pagi tadi bagi tujuan pembelian 39 tiket penerbangan melibatkan jemaah dan seorang mutawif.

Katanya, kumpulan berkenaan dijadual menaiki pesawat Malaysia Airlines MH157 dari Jeddah pada pukul 9 malam (waktu Jeddah) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.15 pagi esok.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan dan pasukan Hyad Travel Malaysia yang bertungkus-lumus menguruskan proses membawa pulang jemaah berkenaan sejak Ahad lalu.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat yang gagal membawa pulang jemaah tersebut dan tidak pernah membuat sebarang perjanjian bayaran balik,” katanya.

Firdaus turut mendoakan agar semua jemaah terlibat tiba dengan selamat ke tanah air.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seramai 43 jemaah umrah dari negara ini terkandas di Jeddah selepas agensi pelancongan yang menguruskan mereka gagal menyediakan tiket penerbangan pulang seperti dijanjikan.

Kumpulan berkenaan tiba di tanah suci pada 16 Julai lalu dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 26 Julai, namun terpaksa bermalam di sebuah apartmen berhampiran lapangan terbang selepas menyedari tiada tempahan tiket disediakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI