PETALING JAYA – Empat daripada 42 jemaah umrah yang dikendalikan syarikat pelancongan, Persada Global Holidays Sdn. Bhd. sudah pulang ke Malaysia, manakala bakinya bersama seorang mutawwif masih berada di Jeddah.
Menurut pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi, pihaknya menerima aduan berhubung kegagalan jemaah untuk pulang ke tanah air pada Sabtu lalu.
Katanya, aduan itu diterima melalui e-mel daripada bekas peserta Pencetus Ummah (PU), Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar atau PU Abu yang juga mutawwif di bawah kelolaan syarikat berkenaan.
“Konsul Jeneral dan pegawai Konsulat Malaysia di Jeddah sudah melawat jemaah di lokasi penginapan mereka sebanyak dua kali pada 26 dan 27 Julai sambil menghulurkan bantuan makanan.
“Terdapat 10 warga emas dan seorang ibu mengandung. Pemerhatian konsulat mendapati kesemua jemaah dalam keadaan baik dan selamat. Namun ada beberapa jemaah agak kurang sihat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Selain itu, katanya, buat masa ini, makanan dan minuman disediakan oleh mutawwif atau jemaah yang berkemampuan dengan menggunakan wang sendiri.
“Semalam, empat jemaah sudah pulang ke Malaysia dengan tanggungan sendiri. Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan terus membantu dan menjaga kebajikan semua jemaah termasuk usaha membawa pulang ke tanah air dengan segera dan selamat,” katanya.
Sebelum itu, katanya, pegawai konsulat menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Persada Global dan menggesa syarikat bertanggungjawab sepenuhnya dengan membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air.
“Konsulat turut meminta syarikat menanggung kos penginapan, makanan, minuman dan lain-lain kos berkaitan sepanjang keberadaan jemaah di Jeddah,” katanya. – KOSMO! ONLINE