SEREMBAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan mengesahkan reptilia dijumpai di longkang besar yang tular di media sosial di pusat bandar ini adalah biawak dan bukannya buaya.
Pengarahnya, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai hantaran berupa gambar serta video berhubung dakwaan kehadiran buaya di longkang besar berkenaan.
“Kakitangan kami sudah turun menyiasat dakwaan hantaran tular berkenaan bagi maklumat lanjut serta keselamatan individu di lokasi tersebut serta berdekatan.
“Bagaimanapun, disahkan itu hanyalah biawak dan sehingga kini, belum pernah terdapat aduan buaya di longkang besar di pusat bandar berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini
Sejak semalam tular di media sosial pemilik akaun Facebook berkongsikan hantaran mendakwa ternampak haiwan berkenaan di longkang besar berhampir Pasar Besar Seremban. – KOSMO! ONLINE