KUALA LUMPUR – Sebuah restoran diusahakan lelaki warga Pakistan diserbu Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur selepas didapati beroperasi menggunakan permit isterinya selain menggajikan warga asing sebagai pekerja.
Pengusaha restoran berkenaan mengakui perkara berkenaan ketika disoal siasat oleh pihak berkuasa.
Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu sudah menetap di Malaysia selama 10 tahun dan berkahwin dengan wanita tempatan.
Keadaan kemudian bertukar kecoh ketika pihak berkuasa menahan lelaki terbabit apabila dia menangis dan meraung.
Dalam serbuan itu, barangan restoran termasuk kerusi, meja, alatan memasak, dapur kabinet diambil tindakan sita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan lanjut.
“Saya kena bayar RM70,000 untuk barang (restoran) ini semua. Saya cari rezeki halal untuk isteri dan anak-anak saya.
“I want die (say mahu mati), I am not a criminal (saya bukan penjenayah),” katanya sambil menangis.
Lelaki itu antara 11 warga asing yang ditahan dalam Op Selera yang dijalankan kira-kira pukul 11.30 malam, semalam.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, tangkapan membabitkan 9 lelaki dan dua wanita.
“Dua borang imigresen 29 (Saman Kepada Saksi) turut dikeluarkan sepanjang tempoh pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata, seramai warga asing disyaki disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan menerusi Op Kutip di sekitar Bukit Bintang, di sini, semalam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE