LONDON – Bintang Portugal, Joao Felix dilaporkan hampir menamatkan ‘mimpi ngeri’ bersama Chelsea apabila dilaporkan mencapai persetujuan menyertai gergasi Arab Saudi, Al-Nassr.
Difahamkan, rundingan antara Al-Nassr dan wakil Felix kini berada pada rundingan terakhir dan perpindahan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang.
Pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano berkata, perpindahan itu akan menggagalkan usaha Benfica membawa pulang Felix ke pangkuan kelab lamanya itu yang menang 3-2 ke atas Fenerbahce dalam aksi persahabatan di Lisbon, Portugal kelmarin.
Penyerang berusia 25 tahun itu difahamkan mahu meninggalkan Stamford Bridge selepas gagal menyerlah sepanjang bersama Chelsea termasuk ketika dipinjamkan ke AC Milan pada musim lalu.
Chelsea meletakkan tanda harga sekitar £46 juta (RM260.84 juta), jumlah yang sama dibayar kepada Atletico Madrid sebelum ini.
Presiden Benfica, Rui Costa bersama ejen, Jorge Mendes dilaporkan telah mengadakan rundingan secara peribadi, namun dikatakan Al-Nassr tetap muncul sebagai pilihan utama.
Antara faktor utamanya adalah disebabkan pengaruh Cristiano Ronaldo yang dari awal lagi meminta Al-Nassr mendapatkan seorang penyerang berkualiti untuk memperkuatkan jentera serangan.
Sekiranya perpindahan itu berjaya diselesaikan dalam masa terdekat, Felix dijangka menyertai Ronaldo serta rakan sepasukan baharunya di Al-Nassr bagi aksi persahabatan menentang kelab Perancis, Toulouse di Untersberg-Arena, Grodig, Austria malam esok. – AGENSI