BASEL – Pengendali England, Sarina Wiegman teruja pasukan dapat melengkapkan ‘kisah dongeng’ selepas menjuarai Kejohanan Euro Wanita 2025 dengan menewaskan juara dunia, Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti 3-1 awal pagi tadi.
Pada aksi final di Stadium St. Jakob Park, Switzerland itu, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sehingga berakhir masa tambahan sebelum perlawanan terpaksa ditentukan oleh penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol The Lionesses, Hannah Hampton berjaya menepis dua sepakan penalti Sepanyol untuk mengekalkan kejuaraan Euro Wanita yang dimenangi England tiga tahun lalu.
Kata Wiegman, prestasi dipamerkan oleh Hampton cukup luar biasa kerana berjaya membantu pasukan menewaskan pasukan berkualiti seperti Sepanyol.
“Tidak dinafikan, Hampton adalah wira dan dia menyelamatkan beberapa peluang keemasan lawan termasuk cemerlang pada penentuan sepakan penalti.
“Kami semua berbangga dengan Hannah kerana membantu pasukan menang Euro Wanita dua edisi berturut-turut,” katanya.
Sementara itu, Chloe Kelly yang meledak sepakan penalti terakhir memastikan kemenangan buat England mengakui cukup berdebar sebelum mengambil sepakan tersebut.
Kata Kelly, pujian wajar diberikan kepada Wiegman selepas mengatur strategi ampuh untuk menewaskan Sepanyol yang dianggap pilihan pada aksi kali ini.
“Wiegman berjaya bantu pasukan menang sekali lagi dan ini adalah pencapaian yang gila. Saya sangat bangga jadi anak England,” katanya. – AGENSI