fbpx
Kirtik (depan) dan Theshvinram ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF

Dua beradik dituduh culik, cederakan dan humban pemuda dalam lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Dua beradik yang sebelum ini tular melarikan seorang lelaki dengan cara menghumban ke dalam lori akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, V. Kirtik Ram, 19 dan adiknya, Theshvinram, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapi mereka di hadapan Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mereka bersama seorang lagi yang telah dituduh didakwa melarikan Muhamad Azwar Danish Rosmadi, 21, dengan niat hendak mengurung dengan sulit dan salah.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Dua beradik itu juga dituduh dengan sengaja mencederakan mangsa sama dengan cara memukul. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara  sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Jalan Persiaran Puchong Permai, Bukit Puchong pada pukul 6.38 petang, 22 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon tarikh bagi serahan dokumen.

Peguam Noor Farazidah dan Mike Lim dalam rayuannya memaklumkan Kirtik bekerja sebagai drebar lori dan adiknya, penghantar p-hailing dengan mereka menjaga nenek yang berusia 64 tahun.

“Mereka juga menyara tiga adik yang masih bersekolah. Kedua-dua tertuduh merupakan pesalah muda. Selain itu, mereka juga telah menyerah diri dan memberikan kerjasama baik sebelum ini,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 setiap seorang dan sebutan semula pada 8 September ini.

Pada 25 Julai lalu, penghantar barang, P. Nandakumar, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan tidak diberikan jaminan mahkamah.

Nandakumar ketika itu diwakili Peguam Muhammad Saifullah, Moh Safwan Salleh dan M. Partiben dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 8 September ini.

Sebelum ini, tular satu klip video memaparkan situasi cemas apabila seorang lelaki ditolak masuk beberapa individu ke dalam belakang sebuah lori.

Berdasarkan video berdurasi 15 saat itu, turut kelihatan sebuah motosikal yang rebah di atas jalan raya, namun tidak dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan mangsa.

Polis kemudiannya berjaya menahan empat suspek dalam tempoh dua hari bermula 23 Julai lalu dengan seorang daripadanya mempunyai tatu ahli kumpulan kongsi gelap, – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI