SHAH ALAM – Seorang guru sekolah rendah berdepan penjara dan sebatan selepas dituduh di Mahkamah Majistret, hari ini atas tuduhan memiliki pil yaba.
Tertuduh, Mohd. Amirul Amin Ismail, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mohd. Amirul yang juga guru Pendidikan Jasmani (PJ) tersebut didakwa sebagai seorang yang tidak memiliki kuasa atau kebenaran seperti mana dalam Bahagian III Akta Dadah Berbahaya 1952, telah memiliki dadah jenis pil yaba seberat 5.31 gram.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah unit rumah kuarters guru di Subang Jaya, kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 25 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi dalam mitigasi memohon jaminan rendah sebanyak RM3,000 susulan anak guamnya masih berkhidmat dan sebagai penjawat awam selain tidak mempunyai risiko melarikan diri.
“Tertuduh bekerja sebagai seorang cikgu PJ dan menanggung isteri yang tidak bekerja bersama seorang anak berusia tiga tahun dan ibunya yang uzur.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 18 September depan. – KOSMO! ONLINE