SEREMBAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Johor Bahru, Khamis lalu ditemukan meninggal dunia di daerah Jempol.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kira-kira pukul 4.30 petang, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol telah menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak di kawasan Rompin.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian awal berlaku di Johor Bahru di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah pada 24 julai lalu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang hilang. Tangkapan telah dibuat oleh pihak polis Kontinjen Johor ke atas suspek iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun.
“Tindakan susulan hari ini kira-kira pukul 4 petang membawa kepada penemuan mayat mangsa di tanam di kawasan Rompin, Jempol disyaki dibunuh,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ujar Ahmad Dzaffir lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan.
Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat.
Tinjauan pemberita di lokasi mendapati, pasukan forensik dan anggota polis berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat kanak-kanak berkenaan.