KUALA LUMPUR – Sebanyak 41 notis kompaun dikeluarkan terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan fotografi tanpa lesen menerusi Operasi Penguatkuasaan Ops Lens di kawasan tumpuan awam sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Menurut kenyataan DBKL, operasi ini adalah untuk memantau serta mengambil tindakan terhadap kegiatan fotografi komersial tanpa kelulusan yang dijalankan secara terbuka di ruang awam.
“Sebanyak 41 kompaun telah dikeluarkan kepada individu yang didapati melanggar peraturan dan menjalankan aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa lesen sah daripada DBKL.
“Semakan turut dilakukan oleh agensi berkaitan ke atas individu terbabit bagi mengenal pasti sebarang rekod jenayah, status pengenalan diri serta kerakyatan.
“Bagaimanapun, tiada sebarang penahanan dilakukan dalam operasi berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut DBKL, operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
Jelasnya, ruang awam adalah milik bersama dan penggunaannya perlu dilakukan secara tertib, beretika dan mematuhi undang-undang.
“Perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada pengunjung, lebih-lebih lagi jika dijalankan di laluan pejalan kaki atau atas jalan raya,” katanya.
Tambahnya, tindakan sitaan peralatan dan barangan akan diambil jika aktiviti ini terus dijalankan tanpa kebenaran, selain pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Katanya, sebarang aduan atau maklum balas boleh disalurkan melalui saluran rasmi DBKL di pautan: https://adukl.dbkl.gov.my.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sekurang-kurangnya 30 jurugambar jalanan di KLCC, di sini, dikenakan tindakan kerana menawarkan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Wartawan Kosmo yang mengikuti operasi di bawah KL Strike Force itu mendapati operasi berlangsung dengan lancar meskipun terdapat sedikit kekecohan apabila seorang individu enggan memberikan kerjasama. – KOSMO! ONLINE