fbpx
Gambar hiasan.

38 jemaah terkandas di Jeddah pulang ke tanah air hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seramai 38 daripada 42 jemaah umrah yang terkandas di Jeddah dijangka dibawa pulang ke tanah air dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH157) dari Jeddah ke Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, empat jemaah sudah pulang ke Malaysia selepas membeli tiket sendiri termasuk warga emas yang pulang bersama ahli keluarga kerana mempunyai janji temu doktor di hospital.

Pengarah Urusan Persada Global Holidays Sdn. Bhd., Shahir Ibrahim berkata, penerbangan itu dijadualkan berlepas pada pukul 9 malam waktu tempatan (2 pagi waktu Malaysia) dan pihaknya akan menguruskan jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ya, semua jemaah akan dibawa pulang sekali gus,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang berurusan dengan syarikat penerbangan untuk menyelesaikan urusan penyediaan tiket penerbangan bagi membawa pulang semua jemaah yang terkandas.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kerajaan memandang serius nasib 42 jemaah umrah yang dilaporkan terkandas di Jeddah sejak 25 Julai lalu.

Katanya, beliau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menipu atau memperdaya jemaah lebih-lebih lagi melibatkan warga emas dan penjawat awam.

“Kami akan mengambil tindakan tegas termasuk melalui saluran undang-undang terhadap pihak yang bersekongkol atau bersalah.

“Kerajaan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi sedang memberikan perhatian penuh dan mengatur langkah segera bagi memastikan kebajikan serta keselamatan semua jemaah terjamin.

“Ia termasuk usaha membawa mereka pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kegembiraan 43 jemaah menunaikan umrah tidak berpanjangan apabila mereka terkandas di Jeddah gara-gara tiada tiket untuk penerbangan pulang.

Lebih menyedihkan, agensi pelancongan terlibat didakwa bersikap lepas tangan walaupun terdapat jemaah warga emas yang menyertai trip tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI