KOTA BHARU – Seorang peniaga santan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol adik iparnya di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Bachok dekat sini pada Januari lalu.
Tertuduh yang berusia 64 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa merogol adik iparnya yang berusia 19 tahun apabila hubungan tersebut tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengan wanita tersebut.
Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik tidur di dalam sebuah rumah di Bachok dekat sini kira-kira pukul 3 petang pada 18 Januari lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan itu melibatkan mangsa yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap dua bulan sekali dan menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE