PETALING JAYA – Sekumpulan warga asing yang terpaksa menunggu lama susulan pemeriksaan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ketika ini telah memuat naik video tidak puas hati.
Menerusi video tular di media sosial, memaparkan beberapa individu dipercayai telah menulis keterangan video seolah-olah mereka di ‘lokap Malaysia’.
“Jangan datang Malaysia nanti kena tahan di ‘depot’ , Malaysia negara jahat,” tulis seorang pemilik akaun itu di ruangan kapsyen.
Rata-rata orang ramai terkejut dengan kehadiran warga asing yang begitu ramai dalam satu masa.
“Berlambak-lambak cuba masuk ikut KLIA rupanya, patutlah penuh dekat Malaysia,” kata Nurul Fakhri.
“Ramainya, masuk dengan visa pelancong kemudian buka kedai dan tak balik dah,” ujar Kalsom Awang.
“Masuk alasan melancong, tapi datang bekerja. Eloklah operasi begini dibuat selalu,” balas Nur Syuhada Razali.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 131 warga asing gagal memasuki negara kerana hanya membawa wang RM500 walaupun mendakwa mahu menetap selama sebulan di Malaysia melalui Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lalu.
Jumlah wang yang tidak munasabah itu dikesan ketika pemeriksaan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia dalam satu operasi khas bermula pukul 3 petang hingga 10 malam di Balai Ketibaan Antarabangsa serta Pintu Perlepasan C1 hingga C37. -KOSMO! ONLINE