PETALING JAYA- Seorang lelaki berkongsi momen sebak apabila dia dilihat mencium berkali-kali jenazah dua bayi kembarnya sebelum dikebumikan.
Menerusi perkongsian di TikTok milik @TuanAmin, lelaki berkenaan dilihat mendukung erat kedua-dua bayi perempuannya dalam perjalanan ke tanah perkuburan.
“Alhamdulillah. Dua puteri kembarku kembali ke rahmatullah. Terima kasih Allah atas pinjaman buat diriku dan isteriku yang terindah ini. Moga berjumpa di syurga nanti, anak-anak,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Difahamkan, pasangan itu telah menanti selama 11 tahun untuk menimang cahaya mata, namun takdir Allah mendahului segalanya apabila kedua-dua bayi tersebut meninggal dunia.
“Doakan kami dan semua ibu bapa TTC (Trying To Conceive),” tambahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan mendoakan agar pasangan tersebut terus tabah serta dikurniakan rezeki zuriat pada masa akan datang.
“Salam takziah. Semoga diberi peluang memiliki zuriat lagi. Jangan putus asa,” kata Mira Adlan.
“Allahu rabbi… penantian yang bakal beroleh keberuntungan insya-Allah,” komen Nazrul.
“Salam takziah buat ibu dan bapanya… kuat ya. Anak-anak tunggu di pintu syurga,” ujar Ada. – KOSMO! ONLINE