fbpx
JIN KUANG ketika tiba di garisan penamat sebagai pemenang bagi acara 21km.

‘Tauke’ belacan juara Half Marathon Taiping

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Meskipun baru sahaja pulih daripada kecederaan dialami Mei lalu, namun ia tidak menghalang peserta tempatan, Ow Yong Jin Kuang daripada memenangi perlumbaan Half Marathon Taiping 2025 yang berlangsung pagi tadi.

Menempuh jarak perlumbaan sejauh 21 kilometer, anak jati Perak yang juga pengusaha belacan itu memastikan gelaran menjadi miliknya selepas melintasi garisan penamat dengan catatan masa 1 jam 15 minit 22 saat (s).

Jin Kuang berkata, perlumbaan yang mendapat pengiktirafan Persatuan Maraton dan Perlumbaan Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS) itu menjadi salah satu sebab mengapa dia memilih untuk turun beraksi.

“Perlumbaan ini mendapat pengiktirafan AIMS dan atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk turut serta. Keputusan larian ini boleh digunakan sebagai kelayakan untuk perlumbaan di luar negara.

“Saya sangat gembira dengan catatan masa yang dibuat, lebih-lebih lagi saya baru sahaja pulih daripada kecederaan sejak Mei lalu. Dapat kembali dan mencatat 1’15:55s sangat memuaskan,” katanya.

PARA peserta ketika memulakan perlumbaan seawal pukul 4.30 pagi.

Justeru, dia meletakkan sasaran untuk menyertai perlumbaan di luar negara pada tahun hadapan sekiranya ada peluang yang hadir.

Mengiringi kemenangan Jin Kuang adalah isterinya, Yee Pei Ni yang turut cemerlang memenangi acara 10km wanita dengan catatan masa 44:34s meskipun baru sahaja melahirkan cahaya mata enam bulan lalu.

“Biasanya selepas bersalin, kebanyakan wanita akan berhenti berlari tetapi isteri saya sangat sabar dan berdisiplin. Kami sentiasa memberikan sokongan antara satu sama lain,” ujarnya.

Sementara itu, juara kategori wanita bagi acara 21km adalah Vivien Ng yang merupakan seorang jurutera berpangkalan di Hong Kong apabila menamatkan larian selepas mencatat 1’39:41s.

Pengarah Perlumbaan, Ahmad Azri menyuarakan rasa bangga apabila acara larian itu berlangsung dengan jaya dalam usaha mereka untuk mempromosikan Taiping sebagai lokasi pelancongan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI