LONDON – Manchester United kini sudah memiliki ‘senjata pemusnah’ yang mencukupi untuk menghadirkan rasa gerun kepada para pencabar dan tidak perlu lagi menambah penyerang baharu.
Pengurus United, Ruben Amorim menjelaskan kehadiran Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha sudah memadai untuk menambah bisa jentera serangan The Red Devils yang menewaskan West Ham United 2-1 hasil dua gol Bruno Fernandes dalam aksi pramusim pagi tadi.
Bagi Cunha, 12 peratus daripada 2,600 minit penampilan bersama Wolverhampton Wanderers dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini adalah sebagai penyerang utama.
Mbeumo pula telah merekodkan 17 peratus daripada 3,415 minit penampilan bersama Brentford sebelum ini juga di posisi penyerang.
“Mereka (Cunha dan Mbeumo) boleh bermain sebagai penyerang. Kami juga memiliki Josh (Joshua Zirkzee) dan Rasmus (Hojlund), jadi fokus kami untuk tingkatkan keserasian mereka.
“Saya tidak tahu adakah wujud posisi itu buat mereka dan sekarang mereka sendiri perlu bekerja keras. Pemain lain juga bersaing untuk merebut tempat tetapi Cunha dan Mbeumo sudah terbukti memiliki kualiti yang baik.
“Mereka agak merendah diri dan paling penting telah memilih untuk bersama kami. Mereka membaca apa yang orang perkatakan tentang kelab, namun akhirnya kunci utama kemahuan untuk berada di sini,” katanya.
Amorim kini berdepan tugasan mencabar untuk membina kombinasi lebih tajam dalam kalangan penyerangnya memandangkan Hojlund dan Zirkzee hanya mengumpul tujuh gol dalam kempen EPL musim lepas.
Ketika bersama kelab lama, Cunha dan Mbeumo terbukti mampu bermain sebagai penyerang utama walaupun kedua-duanya terbiasa di posisi sayap. – AGENSI