PETALING JAYA – Tindakan berani seorang lelaki yang mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Ego S Fi dari dalam kawasan pagar sebuah rumah di Taman Serai Wangi 3, Padang Serai, Kedah awal pagi tadi.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian yang berlaku pada pukul 12.47 pagi itu dengan menunjukkan seorang lelaki membuka pagar kediaman terbabit sebelum melarikan salah sebuah motosikal yang diletakkan di dalam kawasan rumah.
Apa yang mengejutkan, motosikal tersebut ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci sekali gus memudahkan tindakan suspek.
Sementara itu, pemilik motosikal berkenaan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek atau lokasi motosikal tersebut agar tampil menyalurkan maklumat.
“Pemberi maklumat boleh mesej saya, habuan duit akan diberikan,” tulisnya pada ruangan kapsyen klip itu.
Menerusi ruangan komen, rata-rata orang ramai berpendapat kecuaian pemilik turut menjadi punca insiden tersebut berlaku.
“Pintu pagar tak kunci, kunci motosikal pun ada dekat situ tidak dicabut. Ini macam beri peluang atau sedekah je itu,” kata Sadboy.
“Kunci dekat motosikal, pagar tidak berkunci atas kecuaian sendiri, walau apa pun semoga dipermudahkan segala urusan. Kadang-kadang kita tidak jangka nak jadi selalu tiada apa pun yang jadi,” ujar Mohd Nazri Rejab.
“Aku rasa pemilik motosikal ini memang nak bagi percuma je dekat abang ini, itu yang dia tinggal kunci kat situ,” komen Ahmad Razif. -KOSMO! ONLINE