PETALING JAYA – Semua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara menerima hadiah paling menarik apabila diumumkan cuti khas pada Isnin ini, 28 Julai 2025.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, dalam satu hantaran mengejutkan di laman rasmi Facebook miliknya.
Meskipun tiada sebab rasmi dinyatakan, ramai pihak percaya pengumuman cuti itu adalah sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan luar biasa pasukan ragbi MRSM Balik Pulau yang mencipta kejutan menewaskan gergasi sukan, Victoria Institution (VI), dalam perlawanan akhir Super School Rugby (SSR) 2025 hari ini.
Perlawanan dramatik itu menyaksikan wakil dari Pulau Pinang itu menamatkan dominasi kuasa besar Victoria Institution dalam arena ragbi sekolah, sekali gus melonjakkan nama MRSM ke pentas tertinggi sukan berprestij tersebut.
“Semua MRSM diisytiharkan CUTI esok 28 Julai 2025,” tulis Asyraf ringkas, namun penuh makna.
Pelbagai reaksi ditunjukkan oleh para netizen terhadap hantaran tersebut.
“Wow seronok la MRSM se-malaysia esok, Tahniah MRSM Balik Pulau,” kata @Sitinurhayaty Ani.
“Kebersamaan! Juara dijulang bersama!Tahniah!” Ujar @Tengku Haphiz.
“Ini kejayaan semua anak Mara, tahniah!” Komen @Dato Ar Asri Salleh. – KOSMO! ONLINE.