KUALA LUMPUR – Syarikat pengurusan acara dan pencipta kandungan digital tempatan Locco telah menjalinkan kerjasama dua platform berita terkemuka Indonesia, Good News from Southeast Asia (Seasia) dan Good News from Indonesia (GNFI).
Seasia dan GNFI merupakan platform berita positif bebas terkemuka di Indonesia yang mempunyai capaian melebihi 200 juta tontonan bulanan.
Pengasas bersama Locco, Shamsul Bahrin Zainuzzaman, jalinan kerjasama itu adalah salah satu usaha untuk mempromosikan pelbagai acara, kebudayaan, kesenian makanan dan tempat pelancongan menarik antara kedua-dua negara.
Malah katanya, dengan adanya jalinan kerjasama itu juga kedua-dua pihak juga akan berkongsi pelbagai bahan berita menarik antara kedua-dua negara sebagai bahan rujukan rakyat.
“Bagi memastikan kerjasama ini berjalan dengan lancar, kesemua pihak (Locco, Seasia dan GNFI) telah mendatangani satu Memoradum Persefahaman (MoU) sebagai satu usaha membina jambatan positif dan penghargaan budaya di seluruh ASEAN.
“Kerjasama ini akan menjadi salah satu platfrom untuk kesemua pihak mempromosikan semua aktiviti serta berita menarik antara kedua-dua negara. Malah kita juga yakin perkara ini akan tersebar ke negara-negara ASEAN lain,”katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Presiden Kuala Lumpur Tourism Association (KLTA), Syed Azhar Syed Nazir.
Shamsul Bahrin berkata, antara kerjasama terdekat yang akan digunakan termasuklah untuk mempromosikan acara Keretapi Sarong pada 13 September depan yang akan diadakan di sini.
Jelasnya, beliau yakin penyertaan untuk acara Keretapi Sarong pada edisi kali ini bukan sahaja melibatkan rakyat negara ini, malah ia juga akan melibatkan rakyat Indonesia.
“Jika edisi sebelum ini kita berjaya mengumpul lebih 18,000 peserta, tetapi sasaran kita pada edisi kali ini adalah sekitar 40,000 orang (termasuk daripada negara luar khususnya Indonesia).
“Pihak Seasia dan GNFI juga telah bersedia mempromosikan program ini di Indonesia, jadi saya yakin, rakyat dari Indonesia juga akan menyertai program Keretapi Sarong pada 13 September depan,”ujarnya.
Sementara itu, Pengarah dan Pengasas Seasia dan GNFI, Akhyari Hananto berkata, kerjasama itu membuktikan bahawa berita positif dapat disebarkan dengan lebih pantas dan berkesan apabila suara merentas negara bergabung
“Malaysia dan Indonesia berkongsi akar budaya yang kaya, dan kami percaya kerjasama bersama Locco ini akan memperkukuh cerita dan berita positif yang mendekatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,”katanya.-KOSMO! ONLINE