PETALING JAYA – Kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warriors (KRW FC) sedia melakukan kerjasama dengan pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk buktikan tiada kaitan dengan kelab bermasalah, Kelantan FC.
Menurusi kenyataan rasmi petang tadi, KRW FC menjelaskan pasukan itu merupakan entiti baharu yang sah didaftarkan pada Disember 2024 tetapi kini beroperasi secara rasmi di bawah struktur Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026.
“Kami adalah entiti berasingan yang bebas sepenuhnya daripada mana-mana liabiliti dan pentadbiran pasukan lama (Kelantan FC).
“Penubuhan kami adalah sah dan bertujuan membawa sinar baharu kepada arena bola sepak Kelantan,” kata kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, kelab dari Pantai Timur itu sudah memberikan maklum balas rasmi kepada FIFA dan sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang permintaan atau siasatan daripada FIFA termasuklah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Setiap langkah dan perancangan yang dibuat sejak penubuhannya berteraskan kepada nilai integriti, profesionalisme dan semangat juang tinggi demi mengangkat semula martabat bola sepak Kelantan,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan, isu berbangkit pasukan The Red Warriors kembali menggangu apabila FIFA dilaporkan sudah hantar surat tunjuk sebab kepada KRW yang dilihat mempunyai identiti mirip dengan kelab bermasalah itu.
Kelantan FC dianggap sudah terkubur pada tahun lalu selepas tersingkir daripada Liga Super 2023 dan tidak layak beraksi pada saingan Liga A1 Semi-Pro musim lepas kerana dibelenggu bebanan hutang yang tinggi. – KOSMO! ONLINE