MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang anggota bomba bantuan yang dikaitkan dengan video lucah tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, biarpun lelaki dalam video tular berkenaan tidak berpakaian seragam, individu yang disyaki sama didapati berpakaian uniform bomba dalam beberapa hantaran lain di akaun media sosial miliknya.
Beliau berkata, pasukan siasatan telah ditubuhkan Unit Integriti JBPM untuk
mengesahkan identiti sebenar anggota terlibat sekaligus mengenal pasti punca penyebaran video tersebut.
“Kita akan siasat dahulu sama ada video itu dimuat naik oleh individu terbabit secara sukarela atau disebarkan oleh pihak lain,” katanya selepas menutup Program Madani Rakyat Kebombaan Komuniti di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, di sini hari ini.
Nor Hisham berkata, tindakan penggantungan kerja boleh dilaksanakan serta-merta berdasarkan skim perkhidmatannya sekiranya siasatan kelak mengesahkan penglibatan anggota bomba bantuan terbabit.
Beliau berkata, tindakan gantung kerja boleh diambil serta-merta kerana skim bomba bantuan bukan perkhidmatan sepenuh masa.
“JBPM tidak berkompromi dalam isu integriti dan sentiasa memantau tingkah laku serta kandungan media sosial pegawai meskipun tiada aduan rasmi diterima,” katanya.
Sebelum ini, Polis Perak dilaporkan telah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran video memaparkan aksi tidak senonoh dipercayai melibatkan bekas suami kepada seorang pempengaruh media sosial. – KOSMO! ONLINE