SELEPAS mencipta sejarah meraih pingat perak Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025, perenang negara, Khiew Hoe Yean enggan terlalu leka dengan angka dan rekod peribadi kerana mahu terus mengejar kejayaan lebih besar di pentas dunia.
Hoe Yean, 23, yang kini memegang lebih 10 rekod kebangsaan, mengakui pencapaian sebenar bukan diukur menerusi statistik semata-mata, sebaliknya terletak pada konsistensi dan kebolehan mengulangi prestasi cemerlang dalam setiap perlumbaan.
“Saya tak pasti berapa jumlah sebenar, tapi rasa lebih daripada 10 rekod kebangsaan. Apa yang penting adalah terus beri yang terbaik dan kekal konsisten dalam setiap perlumbaan sama ada kejohanan besar atau kecil,” katanya ketika ditemui media sekembalinya ke tanah air dari Jerman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.
Hoe Yean dijadual menyertai Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura minggu ini dengan cabaran getir menantinya dalam lima acara iaitu 100 meter (m), 200m, 400m, 800m gaya bebas serta 4x200m gaya bebas berpasukan.
Anak jati Kuala Lumpur itu turut berkongsi pendekatan latihan berasaskan sains sukan menjadi pemangkin utama kepada peningkatan prestasi sejak dilatih jurulatih Amerika Syarikat, Eric Anderson tahun lalu.
“Sains sukan memang banyak membantu. Setiap atlet ada keperluan berbeza, jadi penting untuk faham tubuh kita dan pilih pendekatan yang paling sesuai. Banyak yang saya belajar dari negara-negara Eropah juga,” jelasnya.
Bagi Hoe Yean, kejayaan teknikal belum cukup jika tiada kekuatan mental iaitu satu aspek yang dianggap sebagai kunci konsistensinya sejak mula mencuri tumpuan di pentas Asia Tenggara.
Reputasi sebagai pemenang dua pingat emas Sukan SEA, Hoe Yean juga meletakkan sasaran tinggi untuk temasya di Thailand hujung tahun ini meskipun namanya masih belum disahkan dalam senarai akhir.
“Saya yakin akan tersenarai selepas September nanti. Kalau diberi peluang, saya nak bawa balik lebih banyak emas dan berikan sesuatu yang membanggakan untuk negara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE