BEIJING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Hangzhou, China terselamat selepas terjatuh dari tingkat 18 sebuah pangsapuri setelah dia mendarat di atas dahan pokok, lapor laman berita MSNews semalam.
Menurut laman berita Jimu News, kanak-kanak itu ditinggalkan bersendirian di rumah ketika kejadian berlaku sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan).
Bapanya yang dikenali Zhu berkata, kanak-kanak itu ditinggalkan berseorangan di rumah ketika dia dijaga oleh seorang saudara.
Individu tersebut memutuskan untuk keluar membeli barangan runcit dan mengunci pintu bilik ketika kanak-kanak tersebut sedang tidur.
Bagaimanapun, mangsa kemudian terjaga sebelum mendapati dirinya bersendirian dan tidak dapat membuka pintu.
Ia menyebabkan dia pergi ke bilik air dan cuba mengintai ke luar tingkap sebelum terjatuh dari tingkat 18.
Dia bagaimanapun bernasib baik apabila dahan pokok besar di luar blok pangsapuri itu menahannya dan menyelamatkannya daripada terus jatuh ke tanah.
Kanak-kanak lelaki itu dihantar ke hospital dan dia didapati mengalami beberapa kecederaan, termasuk patah tangan kiri. – AGENSI