fbpx
ALIFF Aziz dan bekas isteri, Bella Astillah.

Asalkan anak saya disayangi, dijaga dengan baik – Aliff Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selebriti sensasi, Aliff Aziz tidak berasa cemburu bahkan reda dengan kehidupan bekas isterinya, Bella Astillah yang dilihat semakin bahagia.

Memetik laporan berita Berita Minggu Singapura, Aliff, 34, berkata, dia malah terbuka dan mendoakan yang terbaik buat Bella yang kini sering dikaitkan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sehingga diberi gelaran sebagai BASS.

Katanya, setiap perkara yang telah berlaku dalam hidupnya dianggap sudah berlalu, kini lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada dirinya sendiri selain gembira melihat dua anaknya Ayden Adrean dan Ara Adreanna disayangi ramai.

“Ayden dan Ara dikerumuni oleh orang-orang yang sayang mereka, insya-Allah. 

“Itu yang pertama saya fikir. Siapa pun di sekeliling mereka, asalkan mereka disayangi dan dilayan dengan baik, itu sudah memadai,” katanya.

Dia juga bersyukur kerana anak-anaknya berada dalam jagaan individu yang menyayangi mereka meski masih belum berpeluang untuk bertemu sejak tahun lalu.

Malah, dia juga sukar menonton rakaman video mereka hingga habis kerana terlalu sebak. 

“Saya sangat rindu. Doa saya setiap hari adalah untuk dapat lihat mereka semula, dan sampaikan segala yang saya simpan dalam hati.

“Daddy sentiasa ingat dan mendoakan Ayden dan Ara. Saya sangat sayang dan rindukan kalian berdua,” ujarnya.

Dia juga berharap takdir akan mengatur pertemuan bersama dua anaknya dan berpeluang menjelaskan banyak perkara yang selama ini terpendam.

Menerusi temu bual sama, pelantun lagu Sayang Sayang itu tidak berselindung mengakui dihambat rasa bersalah kerana tidak dapat bersama Ayden dan Ara pada saat mereka membesar. 

Dia juga bimbang mengenai penerimaan anak-anaknya kelak, terutama persepsi masyarakat terhadap dirinya.

Menurutnya, dia kerap berdepan dilema sama ada kekal berdiam diri bagi menjaga sensitiviti keluarga, atau mengambil langkah undang-undang yang mungkin menambah ketegangan.

Dalam perkongsian sama, Aliff menzahirkan penghargaan buat ibunya Siti Hafizah kerana tetap mempertahankannya meski keluarga mereka tidak terlepas daripada tumpuan umum.

Ketika ini, nama Bella hangat menjadi bualan ramai apabila didakwa menjalin hubungan istimewa dengan Syed Saddiq sejak mereka digandingkan sebagai duta sebuah jenama pakaian.

Sebelum ini, Bella dan Aliff disahkan bercerai talak satu pada 13 Jun tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Selepas perceraian tersebut, Aliff bersetuju memberikan hak penjagaan penuh ke atas dua anak mereka, Ayden, 8, dan Ara, 5, kepada Bella. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN