SEPANG – Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup keluar beberapa spesies haiwan eksotik bernilai kira-kira RM73,000 ke India berjaya digagalkan pihak berkuasa dalam satu operasi di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, suspek berusia 38 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan ke atas bagasi miliknya menemukan enam ekor haiwan yang disyaki termasuk dalam spesies terancam dan dilindungi.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, operasi berkenaan dijalankan secara bersama dengan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) KLIA selepas menerima maklumat risikan.
“Hasil pemeriksaan awal menggunakan mesin pengimbas mendapati terdapat imej mencurigakan menyerupai hidupan liar dalam sebuah bagasi milik seorang penumpang lelaki yang dijadual menaiki penerbangan MH0198 ke Hyderabad, India.
“Pemeriksaan lanjut berjaya menemukan dua ekor disyaki Lotong Kelabu, dua ekor disyaki Siamang dan dua ekor disyaki Armadillo,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, kesemua haiwan terbabit tergolong dalam kategori spesies terancam dan dilindungi mengikut peruntukan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
Haiwan yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Jelas AKPS, usaha berterusan ini mencerminkan komitmen tegas pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan penyeludupan hidupan liar yang boleh menggugat biodiversiti negara serta mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE