KUALA LUMPUR – “Kalian power.”
Demikian ungkap band popular Indonesia, Sheila On 7 (SO7) yang terharu akhirnya kembali berpeluang membuat persembahan di Malaysia pada konsert Latihan Pestapora berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.
Menurut vokalisnya, Duta Modjo, penampilan mereka pada acara tersebut sekali gus mengubat kerinduan peminat SO7 di sini.
“Sudah lama sekali ya SO7 tidak ke sini (Malaysia).
“Namun, alhamdulillah akhirnya kami dapat datang lagi ke sini, Kuala Lumpur pada tahun ini bertemu dengan kalian semua,” katanya pada acara tersebut.
Tambah Duta, dia juga menitipkan ucapan penghargaan kepada penganjur Latihan Pestapora iaitu Hitman Solutions dan Boss Creator kerana menjemput mereka sebagai antara artis yang membuat persembahan pada acara tersebut.
“Sekali lagi, terima kasih Latihan Pestapora kerana menampilkan SO7.
“Terima kasih juga sudah percaya bahawa Bukit Jalil akan sangat meriah dengan kehadiran kalian pada malam minggu,” ujarnya.
Pada konsert tersebut, band yang turut dianggotai Eross Candra selaku pemain gitar dan Adam Muhammad Subarkah (bass) menyampaikan sebanyak 18 buah lagu popular mereka termasuk Berhenti Berharap, Dan, Hari Bersamanya serta Sephia.
Selain SO7, Latihan Pestapora turut menampilkan penyanyi dan band popular lain seperti Hindia, .Feast, Bunkface, Dolla, Nadin Amizah dan Bittersweet.
Kali terakhir SO7 beraksi di Malaysia adalah menerusi Konsert Sheila On 7 Live In Kuala Lumpur di Starxpo Centre, Kenanga Fashion Mall (KWC) pada 2018. – KOSMO! ONLINE