PETALING JAYA – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyambut baik keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya tahun ini, langkah yang disifatkan memberi kelegaan kepada lebih 941,000 pengguna harian.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, LLM berkata, penangguhan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat serta memastikan akses kepada lebuh raya kekal mampu milik.
“Walaupun kadar tol tidak dinaikkan, LLM akan memastikan penyenggaraan dan kualiti lebuh raya kekal pada tahap tertinggi. Ini termasuk jalan yang diselenggara baik, R&R yang kondusif, sistem trafik pintar, serta respon pantas terhadap sebarang insiden,” katanya.
Jelas LLM, pengguna masa kini bukan sahaja menuntut kadar tol yang berpatutan, tetapi juga pengalaman perjalanan yang selamat, selesa dan efisien.
Ini termasuk pencahayaan mencukupi, papan tanda yang jelas serta kemudahan digital dan teknologi hijau.
Dalam masa sama, agensi itu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Madani dan syarikat konsesi lebuh raya yang terus komited menjayakan aspirasi pembangunan infrastruktur negara.
“LLM akan terus memantau pelaksanaan obligasi syarikat konsesi agar kepentingan pengguna lebuh raya sentiasa terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE