SEBAHAGIAN peminat sukan tanah air meluahkan kebimbangan terhadap potensi raja pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi untuk menaiki podium di pentas berprestij antarabangsa seperti Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman ketika ini.
Percubaan Azeem, 21, untuk menaiki podium gagal kali kedua berturut-turut apabila kempunan ke final acara 200 meter (m) awal pagi semalam selepas meraih tempat ketujuh daripada lapan peserta pada separuh akhir 3 dengan catatan 21.51 saat (s).
Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022, menjelaskan badannya belum bersedia untuk berjuang serentak dalam dua acara utama selepas sekadar merekodkan 21.51s, jauh dibandingkan rekod 200m terbaiknya, 20.79s dilakar di Florida, Amerika Syarikat (AS).
“Saya masih berlari hari ini sebab mahu buktikan saya layak berada dan bersaing di sini, bukan sekadar menyertai. Tapi jujurnya, selepas larian ini saya tahu badan saya belum bersedia untuk dua acara dalam satu kejohanan.
“Satu pengalaman berguna untuk musim 2026 sebab memang perancangan saya dan jurulatih nak turun (bersaing) dua acara,” katanya.
Kekecewaan mula disuarakan para peminat susulan kegagalan atlet dari Teluk Intan, Perak itu dalam acara kegemarannya, 100m sebelum ini apabila meraih tempat keempat, tewas buat kali ketiga berturut-turut kepada seteru utamanya dari Thailand, Puripol Boonson.
Biarpun berpangkalan di Universiti Auburn, Alabama, AS, namun atlet dari Teluk Intan, Perak itu gagal memenuhi potensi sebenarnya sejak dia memecahkan rekod 100m kebangsaan dengan masa 10.09s di Cali, Colombia pada 2022.
Bintang muda Afrika Selatan, Bayanda Walaza membuktikan kehebatannya apabila muncul raja pecut berganda selepas menang emas 100m (10.16s) dan 200m (20.63s).
Pingat perak acara 200m dimenangi pelari Sepanyol, Adria Alfonso Medero dengan catatan 20.70s, manakala gangsa menjadi milik atlet Korea Selatan, Lee Jaeseong (20.75s).
Sebagai rekod, ini kali pertama Azeem bersaing dua acara dalam satu kejohanan dengan kali terakhir sewaktu zaman persekolahan, malah hanya sempat tampil sekali acara 200m musim ini sebelum berlepas ke Jerman. – KOSMO! ONLINE