fbpx
MD. ROSWADY (kanan) berbangga dengan kejayaan Kampung Jelintoh dalam menawarkan perkhidmatan terbaik buat pengunjung, termasuk pelancong dari luar negara.

Penginapan Kabin Kampung Jelintoh tarik pengunjung ke Gopeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOPENG – Kreativiti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jelintoh, di sini yang mewujudkan penginapan kabin sejak awal April lalu melonjakkan industri ekopelancongan di daerah ini yang terkenal dengan aktiviti darat, sungai dan rekreasi keluarga.

Pengerusi dan Ketua Kampung Jelintoh, Md. Roswady Omar, 40 berkata, ramai pelancong tempatan dan antarabangsa terutama dari Kuala Lumpur, Kelantan dan Kedah termasuk dari Eropah khususnya Britain telah menyewa kabin tersebut yang berharga RM100 semalam.

“Pelanggan akan menginap di dalam kabin yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti katil, alat penghawa dingin, bilik dan tandas, serta televisyen.

“Selain itu, kami menyediakan sabun mandi, syampu, tuala, seterika, cerek elektrik, kopi segera, almari pakaian dan tapak meletakkan kenderaan yang luas,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Md. Roswady memberitahu, setiap pelanggan yang mendiami kabin tersebut turut mendapat tawaran diskaun tiket sekiranya berkunjung ke Taman Zahara berdekatan, yang terkenal dengan haiwan alpacanya yang jinak.

Setiap kabin berkeluasan 200 kaki persegi dan bahan binaan tersendiri yang digunakan membuatkan ruang dalamannya tidak panas dan berbahang, selain kedap bunyi bagi menjamin keselesaan pelanggan.

Lokasinya yang strategik pula menjadikan Penginapan Kabin Kampung Jelintoh menjadi sasaran pelanggan kerana boleh melakukan aktiviti berakit meredah jeram (water rafting) di Sungai Kampar.

“Majoriti pelanggan menggemari aktiviti water rafting, absei­ling air terjun, aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), river tubing atau sekadar mandi di Sungai Kampar yang jernih dan tidak tercemar sambil menikmati keindahan semula jadi.

“Ada juga yang mengambil kesempatan mendaki Bukit Batu Putih berdekatan berketinggian 310 meter untuk menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam, manakala pembentukan batu putihnya yang unik menambah daya tarikan visual kepada para pendaki,” katanya.

Tambah beliau, pengunjung juga dapat melihat bunga rafflesia yang merupakan salah satu bunga paling jarang ditemui di dunia, selain rama-rama jenis Rajah Brooke.

“Saya berterima kasih kepada Majlis Daerah Kampar (MDKpr), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar dan Tourism Perak yang banyak membantu dalam aspek menyediakan infrastruktur yang lengkap seperti kemudahan awam iaitu jalan, tempat meletak kenderaan, utiliti dan promosi.

“MDKpr dan PDT Kampar sentiasa melawat tempat ini bagi memastikan ia terjaga rapi dan kemudahan yang disediakan pada tahap terbaik.

Bagi Tourism Perak pula, mereka bercadang mempromosikannya sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di negeri ini,” katanya.

Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche Daerah Kampar sebagai kawasan ekopelancongan berpotensi untuk ditonjolkan dan dapat menjadi sumber tarikan pengunjung serta pelancong.

Ia juga menepati flagship ke­sepuluh Perak Sejahtera 2030, iaitu Ekonomi Pengalaman hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI